Memperkasa hubungan ulama’ dan umara” ( 16 disember 2011 / 20 muharam 1433H ) Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah




Yüklə 19.51 Kb.
tarix21.04.2016
ölçüsü19.51 Kb.


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
MEMPERKASA HUBUNGAN ULAMA’ DAN UMARA

( 16 DISEMBER 2011 / 20 MUHARAM 1433H )




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Sempena dengan perhimpunan ulama’ dan umara’ pada hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) maka mimbar akan membincangkan tajuk khutbah “ MEMPERKASA HUBUNGAN ULAMA’ DAN UMARA. ”



Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sistem perlantikan Yang diPertuan Agong di amalkan di negara kita merupakan satu sistem yang unik dan istemewa yang menjadi tonggak kestabilan negara dan telah mengukuhkan lagi institusi Raja Berpelembagaan. Apa yang jelas sistem perlantikan dan penggiliran yang telah di amalkan sejak merdeka sehingga kini membolehkan rakyat menghayati kesinambungan antara sejarah silam dan kehidupan masa kini yang secara tidak langsung menyerlahkan identiti sebagai sebuah negara yang berdaulat. Maka bersempena dengan perlantikan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah sebagai Yang di Pertuan Agong ke 14 dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Hajjah Haminah sebagai Raja Permaisuri Agong, marilah sama-sama kita menjunjung kasih, merafak sembah kesetiaan dibawah pemerintahan Baginda berdua. Semoga Baginda berdua dikurniakan taufik dan hidayah serta kekuatan untuk meneruskan pemerintahan negara. Menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda berdua sebagai pemerintah negara sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59:



Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan taatlah kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam sejarah ketamadunan Islam, golongan umara’ dan ulama’ merupakan dua golongan yang amat dihormati oleh masyarakat. Golongan ini senantiasa menjadi perhatian masyarakat dan amat berpengaruh. Kerana itulah ketika Islam mula bertapak di Tanah Melayu, alim ulama’ di angkat kedudukannya dengan diberi pengiktirafan oleh pemerintah sebagai penasihat kepada Sultan atau Raja. Pengiktirafan yang begitu tinggi ini sebenarnya bertepatan dengan prinsip Islam yang menjunjung kedudukan ulama’ dan selaras dengan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin malik RA:



Maksudnya:Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.
Namun persoalan besar timbul disini siapakah ulama, dan umara’ yang sebenarnya?.Secara ringkasnya dalam konteks umat Islam di rantau ini, ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan memahami agama secara mendalam. Tanpa ulama’ semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata. Kerana itu para ulama’ merupakan anugerah besar buat umat manusia bagi membimbing mereka ke jalan yang benar. Manakala umara’ pula merujuk kepada pemerintah yang memimpin sesebuah masyarakat. Tanpa pemerintah, masyarakat menjadi kacau bilau. Malah ajaran Islam dan syariah tidak akan dapat dilaksanakan. Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “ Sesungguhnya penguasa atau pemerintah yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi.

Menjelaskan betapa besar peranan sebagai umara’ ini, Khalifah Umar ibnu al-Khattab pernah memberi nasihat dan peringatan kepada Abu Musa al-Asy’ari, Gabenor Mesir ketika itu bahawa:“ Penguasa yang paling berbahagia ialah mereka yang rakyatnya merasa bahagia hidup di bawah pemerintahannya. Sementara penguasa yang paling celaka pula ialah mereka yang rakyatnya merasa celaka hidup dibawah pemerintahannya. Ingat jangan hidup bermewahan kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Bandingkan diri kamu sama seperti binatang ternakan. Apabila binatang itu dibawa ke padang rumput yang menghijau ia akan makan banyak sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu akan menjadi sebab kepada kebinasaannya kerana ia akan disembelih untuk dimakan.

Imam al-Ghazali ketika mengulas peranan ulama’ dan umara’ pada zamannya pula menyatakan bahawa:“ Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama’ untuk melakukan kerja amar makruf dan nahi munkar tanpa mengira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka percaya bahawa Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka itu ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata untuk menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi sekarang lidah para ulama’ telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana ulama’. Sementara ulama’ pula rosak kerana tamak harta dan pangkat.

Berdasarkan hadith-hadith dan pandangan tokoh-tokoh ulama’ tersebut ternyata hubungan antara ulama’ dan umara’ merupakan tunjang kepada kekuatan ummah dan menentukan hala tuju umat Islam pada masa hadapan. Merekalah yang berada di barisan hadapan yang menentukan kejayaan atau kejatuhan sesebuah ummah itu. Lihatlah sebagai contoh kejayaan kerajaan Islam Samudera Pasai, Melaka dan Aceh yang bertonggakkan kekuataan ulama’ dan umara’ telah menjadi pusat perkembangan Islam yang paling penting dan berpengaruh pada abad 14 sehingga ke-17. Sebaliknya, apabila dua golongan ini menjadi jahat, bermusuhan, maka pemerintahan menjadi lemah, ummah tidak terbela, negara kucar kacir dan akan ditimpa kehancuran. Menurut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Naim bahawa Rasulullah SAW bersabda:





Mafhumnya: Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama’ dan umara.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Persoalan besar timbul disini ialah bagaimana kaedah untuk memperkasakan dan mempertingkatkan hubungan ulama’ dan umara’?. Mimbar ingin menegaskan bahawa memperkasakan kaedah nasihat dan saling hormat menghormati merupakan sebagai satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan antara ulama’ dan umara’. Setiap ulama’ mestilah berintergriti, bersifat ikhlas, jujur, jatidiri, berpandangan luas serta tidak fanatik di dalam setiap tindakannya dan hendaklah memberi nasihat dan teguran berlandaskan kepada kebenaran tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau fahaman tertentu. Begitu juga dengan umara’, mereka mestilah bersikap terbuka dalam menerima nasihat dan pandangan serta mampu membina kerjasama yang baik dengan mana-mana pihak.

Seorang ulama terkenal Muhammad bin Nasr ketika menjelaskan maksud nasihat untuk para pemerintah ialah supaya mereka menjadi baik, mendapat petunjuk dan berlaku adil, menyukai umat bersatu dibawah pemerintahannya dan tidak berpecah belah. Dengan memperkasakan kaedah ini ia akan meletakan peranan ulama’ di tempat yang sepatutnya, mereka akan dihormati dan akan memartabatkan kedudukan ulama, dalam sistem pemerintahan negara. Iman al-Turtusyi di dalam kitabnya siraj al-Muluk berkata: Manusia yang paling utama taat kepada pemerintah dan menasihatinya ialah ahli agama dan mereka yang mendapat nikmat serta golongan yang bermaruah kerana agama tidak boleh tegak tanpa kuasa pemerintah. Dan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya asas hubungan dalam agama adalah nasihat, iaitu bagi mentaati Allah dan rasul-Nya bagi menolong para pemerintah umat Islam dan rakyat amnya.(Riwayat Muslim).

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Islam adalah agama yang mewujudkan sistem cara hidup menyeluruh kepada manusia dari segi akidah, syariah, akhlak, politik, ekonomi, dan sosial yang berkait rapat satu sama lain. Sistem cara hidup ini mempengaruhi pembangunan duniawi dan ukhrawi manusia. Dengan demikian kerjasama dan hubungan harmoni ulama’ dan umara’ akan menjadi tunjang kekuatan ummah dan menentukan negara berada di landasan yang selari dengan Siasah Shar’iyah. Mimbar menyedari bahawa bidang kuasa ulama’ di negara ini adalah terbatas berbanding bidang kuasa umara’ yang luas. Oleh itu, walaupun tinggi integriti ulama’, dan hebat kewarakkan ulama’ tetapi keputusan terakhir merancang dan melaksanakan pembangunan umat dan negara terletak di bawah bidang kuasa umara’.

Selari dengan tanggungjawab ulama’, maka menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan bahawa ulama’ tidak boleh berdiam diri dalam memperjuangkan hak-hak kepentingan Islam dan menyelesaikan masalah ummah. Suara ulama’ sentiasa ditunggu dan diperhatikan oleh masyarakat Islam yang cintakan agamanya. Mimbar amat yakin langkah umara’ atau pemerintah menjemput ulama’ dalam membincangkan isu-isu negara dari masa ke masa adalah selari dengan tuntutan Islam. Kepada para ulama’ mereka perlulah membina jambatan dengan pelbagai pihak dalam masyarakat tanpa mengambil kira tahap kedudukan dan kecenderungan pemikiran mereka. Para ulama’ juga tidak boleh sama sekali memisah dan memencil diri di dalam dunia yang berasingan dan haruslah berada dalam realiti masyarakat yang nyata. Ingatlah bahawa hubungan ulama’ dan umara’ ibarat aur dengan tebing dan perkongsian bijak mereka akan membawa rahmat kepada negara dan ummah. Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat 28:



Maksudnya:Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah ulama’ (orang yang berilmu).”
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru sidang jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita bersama-sama mengembeleng tenaga menyepadukan peranan ulama’ dan umara’ agar negara dan ummah terus dirahmati sebagaimana berikut:Pertama: ulama’ dan umara’ perlu bekerjasama dalam bidang yang boleh disepakati dan berbincang bagi mengelakkan perselisihan yang merugikan ummah.Kedua: ulama’ dan umara’ perlu mengikhlaskan hati dan melengkapkan diri dengan kemahiran, ilmu dan kepimpinan di samping berusaha memahami masalah terkini umat Islam.Ketiga: umat Islam perlu mendokong peranan dan sumbangan ulama’ dan umara’ dengan bersama-sama bersatu dan menguatkan rohani dan intelektual. Dan keempat: ulama’ dan umara’ perlu bersikap insyirah atau berlapang dada menerima teguran atau nasihat demi manfaat agama dan ummah.





Maksudnya: Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan)”. (Sural Huud: 15-16)







Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©azrefs.org 2016
rəhbərliyinə müraciət

    Ana səhifə